Tazkirah: Akhlak, perbuatan baik 'auto-pilot'

Akhlak berasal daripada bahasa Arab `Khuluq' yang membawa kaitan dengan pekerti, tingkah laku dan perangai.

Dalam Islam, akhlak berkait rapat dengan nilai yang dihubungkan dengan ajaran Al-Quran dan sunah Nabi Muhammad S.A.W.

Selagi sesuatu perbuatan itu tidak bercanggah dengan kedua-dua sumber hukum tertinggi itu, maka ianya termasuk dalam perbincangan akhlak.

Imam Al-Ghazali mendifinisikan akhlak sebagai 'satu tindakan atau perbuatan yang terbit daripada diri secara berterusan, dan perbuatan itu lahir dengan mudah tanpa memerlukan kepada proses berfikir'.

Manakala Sheikh Dr. Fathi Yakan dalam sebuah buku karangannya bertajuk Apa Ertinya Saya Menganut Islam, meletakkan 'akhlak yang mulia itu adalah objektif paling utama Islam' sejajar dengan apa yang diungkapkan oleh baginda Rasulullah S.A.W melalui sabdanya yang bermaksud:

"Sesungguhnya aku diutuskan oleh Allah SWT untuk menyempurnakan akhlak yang mulia"

Perjalanan hidup seorang muslim belum sampai ke matlamat jika gagal menjadi seorang yang berakhlak.

Biarpun dia berakidah dengan akidah Islam, beribadah dengan Ibadah Islam namun ianya masih belum sempurna tanpa satu lagi aspek iaitu akhlak Islam itu sendiri.

Untuk memahami apa yang dimaksudkan oleh Imam Al-Ghazali dalam pendifinisian beliau tentang akhlak, mari kita melihat kepada dua situasi berikut.

Situasi pertama:

Ahmad ditakdirkan terserempak dengan seorang peminta sedekah ketika berjalan menuju ke stesen komuter lantas terdetik dihatinya untuk memberikan wang kepada peminta sedekah itu.

Dia kemudiannya menyedari yang dia hanya memiliki sekeping RM10 dan memerlukan separuh dari jumlah itu untuk tambang pulang ke rumah.

Setelah berfikir tentang jumlah yang wajar disumbangkan, akhirnya dia menghulurkan wang RM10 tersebut kepada peminta sedekah dan meminta dikembalikan semula RM5 kepadanya.


Situasi kedua:

Azman seorang pramugara kepada sebuah syarikat penerbangan.

Mengikut profesyen dan etika kerja syarikat, Azman dikehendaki mengukir senyuman kepada setiap penumpang di dalam penerbangan bersamanya.

Sikap Azman itu bagaimanapun berbeza bila pulang ke rumah.

Senyuman sama jarang-jarang diberikan kepada anak dan isterinya.



Setiap manusia mempunya banyak sebab untuk berbuat kebaikan.

Namun perlu difahami bahawa tidak semua di antara kebaikan yang dilakukan itu boleh dikategorikan sebagai akhlak, mengapa?

Mari kita fahami dari kedua-dua situasi yang dikemukakan di atas tadi.

Pada situasi pertama, secara amnya Ahmad telah melakukan kebaikan kerana memberikan sumbangan kepada seorang insan yang memerlukan bantuan iaitu peminta sedekah tersebut.

Namun jika diteliti dengan lebih cermat, perlakuan baik Ahmad itu belum dapat dikategorikan sebagai berakhlak kerana Ahmad masih menggunakan proses pemikiran untuk menentukan jumlah yang mahu diberikan kepada peminta sedekah tersebut.

Sedangkan dalam pengertian akhlak itu menyebut 'perbuatan itu lahir dengan mudah tanpa memerlukan kepada proses berfikir'.

Pada situasi kedua pula, tindakan senyum Azman sewaktu menjalankan tugas itu merupakan satu perbuatan yang baik, apatah lagi ianya sesuatu perbuatan yang dituntut oleh Islam malah dikira sebagai sedekah.

Namun melihat kepada sikap berbeza Azman di tempat kerja dan di rumah, maka senyumannya ketika melayan penumpang belum boleh dikategorikan sebagai berakhlak.

Ia kerana perbuatan senyum Azman itu dilakukan atas dasar etika kerja dan bukan terbit dari diri sendiri tanpa memerlukan proses berfikir.

Secara kesimpulannya, akhlak adalah perbuatan baik (tidak bercanggah dengan ajaran Al-Quran dan Sunah), yang dilakukan tanpa syarat.

Atau dengan kata lain, perbuatan baik yang 'auto-pilot'.

Sumber: Kuliah kitab 'Apa Ertianya Saya Menganut Islam' disampaikan oleh Ustaz Hasrizal Jamil (http://saifulislam.com)

hadis...

Hadis Riwayat Al-Hakim dan Abu Na’im.

Hiduplah kamu sebagaimana yang engkau kehendaki,
tetapi ingat kamu akan mati.
Cintailah sesiapa yang engkau kehendaki,
tetapi ingt bahawa engkau akan berpisah dengannya.
Buatlah apa sahaja yang engkau kehendaki,
tetapi awas kamu akan di balas atas apa yang dilakukan itu.
Dan ketahuilah bahawasanya kemuliaan orang beriman itu terletak pada Qiamullailnya dan kehebatannya bila dia tidak bergantung pada orang lain.

Bila Hati Berbicara...

Aku:
Wahai hati yang disayangi, mengapa aku melihat engkau bermuram durja hari ini? Ceritakanlah padaku masalahmu.

Hati:
Bagaimana aku tidak bermuram durja ya sahabat, perut aku belum diisi dengan bacaan Quran lagi hari ini. Maka, kenyangkanlah aku dengan bacaan kalamNya. Aku sangat memerlukannya.

Aku:
Wahai hati yang dahulunya sihat,merah laksana delima, mengapa hari ini aku melihat engkau pucat? Tidak bermaya. Lesu.Tidak seperti semalam.

Hati:
Ya akhi,semalam dan hari ini tidak sama. Semalam engkau bertahajjud dan sujud serta menangis didepan Allah tetapi hari ini? Dimana tahajjudmu hari ini? Bagaimana aku tidak lesu dan lemah sedangkan aku tidak diberi kekuatan.

Aku:
Wahai hati yang sentiasa ceria,mengapa hari ini engkau menangis? Apakah ada sesuatu yang menyebabkan engkau begini?

Hati:
Bagaimana aku tidak menangis ya empunya diri. Hari-hari sebelum ini engkau solat berjemaah bersama-sama sahabat. Tetapi kali ini? Aku menangis merenung nasib  malang aku mempunyai tuan seperti engkau. Ceriakan dan gembirakanlah aku kembali dengan solat berjemaah bersama-sama sahabatmu.

Aku:
Wahai hati yang sentiasa ku rindukan, aku pelik melihat kelakuanmu hari ini. Biasanya pada wajahmu terlakar seribu senyuman yang amat ku dambakan. tetapi mengapa hari ini tidak lagi begitu? Berceritalah padaku apa yang terjadi.

Hati:
Baiklah.Dengarlah rintihanku ini. Aku amat rindukan engkau yang dahulu. Sering berzikir dan bersedekah. Aku terkenangkan engkau yang amat pemurah ketika itu. Mengapa engkau berubah hari ini? Aku menderita. Aku dambakan kembali ketenangan ketika engkau berzikir dan bersedekah. Maka, aku merayu padamu agar kembalilah mengingati Allah dan lazimkan dirimu dengan sedekah nescaya senyuman aku akan kembali.

Berkata seorang ulama, Ibrahim al Khawas RA:

Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara,maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut. Pertamanya bacalah Al Quran dengan menghayati isi kandungannya. Kedua, mengosongkan perut dari terlalu kenyang atau berpuasa. Ketiga, bangun (beribadat) di waktu malam. Keempat, menghampirkan diri kepada Allah di sepertiga malam dan yang kelimanya, sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang soleh.