Showing posts with label ramadhan. Show all posts
ramadhan datang lagi..

Mencari...Bukan Menanti Lailatul Qadr
Setelah begitu resah, bimbang dan sedih atas kerosakan kaumnya, Rasulullah SAW pergi menyendiri (bertahannuth) di gua Hira’. Baginda nekad. Tidak mahu “kotoran” jahiliah hinggap pada hati dan dirinya.Hatinya meronta-meronta inginkan kebaikan buat kaumnya, tetapi apa kan daya, baginda tidak punya “senjata” dan “penawar” untuk menghadapi dan mengubatinya.
Bertahun-tahun, baginda di situ. Menyendiri, terasing seketika, untuk tidak terjebak dalam kejahilan dan kemusyrikan Arab Jahiliah. Bukan mengalah, tetapi berundur seketika mengatur langkah. Walaupun belum nampak cara tetapi kemahuan sudah ada. Hatinya sebagai wadah itu sentiasa menganga untuk mendapat pimpinan dan bimbingan.
Dan tiba-tiba pada satu malam yang penuh barakah, cahaya dan petunjuk, turunlah malaikat Jibrail membawa wahyu yang pertama. Saat itulah, baginda mula mendapat kekuatan, tenaga dan dorongan yang sangat luar biasa. Segala yang dinanti telah tiba. Segala yang “kosong” telah terisi.
Baginda menjadi Rasul sejak itu… mula dibebankan misi yang amat besar yakni berdakwah, mendidik dan memimpin kaumnya menuju Allah. Kembali ke fitrah.Malam yang bersejarah itu dikenali sebagai malam Al Qadar!
Mulai saat itu, selamat tinggal Hira’. Tidak ada pengasingan diri lagi selepas itu. “Rahib” sudah bertukar menjadi mujahid. Cahaya yang bermula dari dalam gua itu terlalu hebat, terlalu terang… bukan itu gelanggangnya, tetapi semesta alam. Roh iqra’ yang hebat itu disusuli kemudiannya oleh gerak Al Mudathir, lalu baginda pun menguak “selimut” uzlahnya lalu dibesarkan Tuhannya dengan sinar akidah di relung samar Jahiliah.
Apakah malam Al Qadar 1431 H ini akan ditunggu oleh hati seputih Rasulullah saw? Atau hanya diintai dan diramal oleh kebanyakan umat dengan hati yang kotor dan nafsu liar. Apakah al Qadar akan sudi bertamu di wadah hati yang begitu? Padahal hati Rasululah ketika menantinya sudah dikosongkan demi bertamu sebuah hidayah? Berapa lamakah kita telah membenci kemungkaran seperti Rasul membencinya hingga tiba saatnya baginda layak menemui malam yang agung dan hebat itu?
Apabila bercakap tentang Lailatul Qadar, terdapat berbagai-bagai pendapat tentang tanda-tanda berlakunya malam tersebut. Ada yang mengatakan apabila berlaku Lailatul Qadar, semua pokok menunduk rukuk dan semua sungai membeku dalam kadar waktu yang singkat.
Ada pula keterangan yang mengatakan cuaca pada siang hari menjadi tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk bahana Lailatul Qadar pada malamnya. Pendek kata, ada berbagai-bagai pandangan dan tanggapan. Apakah semuanya benar? Wallahua’lam. Pada hal di dalam Al-Quran atau hadis-hadis Rasulullah saw malam Al Qadar masih kekal tersembunyi dan misteri untuk ditentukan secara pasti.
Terdapat sikap sesetengah kalangan yang suka menunggu-nunggu tanda-tanda berlaku Lailatul Qadar untuk beribadah semaksima mungkin. Hanya pada malam yang dimaksudkan itu! Apakah cara ini betul? Sedangkan, Islam tidak mengajar demikian. Memburu satu malam bernama Al Qadar memerlukan ribuan malam sebelumnya yang dipenuhi dengan aktiviti dan usaha membersihkan hati secara konsisten.
Ia bagaikan atlet 100 meter yang berlari beribu-ribu kilometer dalam tempoh beribu-ribu jam sebagai persediaannya untuk menghadapi hari perlumbaan yang hanya mengambil masa tidak sampai 1 minit dengan jarak 100 meter.
Malam Al Qadar itu umpama sebuah “kapal terbang” yang memerlukan landasan yang selamat dan cukup panjang untuk mendarat. Jika landasannya pendek dan terhalang, kapal terbang tidak akan mendarat. Landasan Lailatul Qadar ialah hati yang bersih. Mana mungkin malaikat yang bersih dan suci itu boleh berdamping dengan orang yang hatinya masih kotor dengan sifat mazmumah apatah lagi kalau ada saki-baki syirik? Dan mana mungkin hati yang kotor dapat dibersihkan hanya dalam jangka masa satu malam?
Hati mesti dibersihkan sejak akil baligh hinggalah akhir hayat. Bersihnya hati itu, mencerahkan peluang kita untuk bertemu malam Al Qadar. Sebaliknya, jika hati dibiarkan kotor, dan hanya berangan-angan untuk bertemu dengan malam itu dengan “tekaan” dan “ramalan” sahaja, insya-Allah, kita tidak akan dapat menemuinya.
Allah swt tidak memberitahu kita rupa bentuk atau tanda-tanda Lailatul Qadar. Kita juga tidak diberitahu bilakah masanya malam itu? Namun apa yang Allah swt beritahu kita dalam surah Al-Qadr ialah tentang keutamaan Lailatul Qadar. “Malam kemuliaan itu adalah lebih baik daripada seribu bulan.” Apakah maksud Allah swt dengan ungkapan “lebih baik daripada seribu bulan?”
Kita harus faham bahawa surah berkenaan Lailatul Qadar sebenarnya membicarakan tentang penurunan Al-Quran. Malam diturunkan Al-Quran itu disebut Lailatul Qadar. Walau pun ia berlaku hanya satu malam sahaja, tetapi satu malam itu jauh lebih baik daripada 1000 bulan yang dipenuhi dengan kegelapan syirik, kesesatan dan sebagainya.
Menurut pandangan kebanyakan ulama tafsir, angka 1000 bulan ini tidak harus diertikan dengan bilangan antara 999 dan 1001.Sebaliknya ia dinisbahkan kepada nilai atau keutamaannya malam itu berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Surah Al-Qadr juga membicarakan tentang para malaikat yang turun disertai Jibrail a.s dengan izin Allah swt dengan membawa urusan. Jibrail turun menyampaikan wahyu yang terakhir kepada Nabi saw. Ini bermakna baginda telah mendapat Lailatul Qadar.
Namun kini, apakah urusan para malaikat turun ke bumi pada setiap bulan Ramadhan setelah kewafatan baginda?
Para malaikat adalah makhluk yang suci yang diutuskan oleh Allah Yang Maha Suci. Mereka sentiasa turun setiap malam, khususnya pada malam penghujung Ramadan. Ini sudah banyak dijelaskan dalam hadis-hadis Nabi saw. Namun begitu, jumlah malaikat yang turun pada setiap malam (yakni di sepertiga malam) tidak seramai pada Lailatul Qadar. Apatah lagi pada malam itu, malaikat yang turun bukanlah malaikat-malaikat yang sembarangan, tetapi yang tinggi “rankingnya” misalnya Jibrail a.s.
Lazimnya malaikat turun untuk membawa amalan manusia misalnya doa-doa, istighfar atau hajat-hajat mereka kepada Allah swt. Namun pada Lailatul Qadar, tugas mereka adalah lebih daripada itu. Menurut pendapat ulama kontemporari, malaikat yang turun bukan sahaja untuk membawa amalan manusia pada malam itu, tetapi turut bertamu dalam hati-hati mereka yang telah mendapat penghormatan daripada Allah swt.
Siapakah mereka yang layak menerima tetamu daripada malaikat yang diutuskan Allah ini? Apa yang pasti, jiwa-jiwa yang kotor sudah tentu tidak layak mendapat kunjungan mereka. Malaikat Jibrail diperintahkan turun bertemu dengan Nabi saw pada Lailatul Qadar. Semenjak malam itu, Jibril a.s sentiasa diutuskan kepada baginda untuk menyampaikan wahyu.
Bermula pada malam itu, apa sahaja yang dilakukan oleh Rasulullah saw semuanya mendapat bimbingan terus dan intim daripada Allah swt. Apa sahaja yang diucapkan oleh baginda semuanya berpandukan wahyu. Ini berbeza dengan keadaan sebelum baginda menjadi nabi. Rasulullah saw terpaksa juga berperang atau berjuang antara keinginan negatif dengan tuntutan fitrahnya. Hanya setelah mendapat Lailatul Qadar, bisikan malaikat dan tuntutan fitrah sentiasa dapat mengalahkan bisikan nafsu dan syaitan.
Oleh itu, sesiapa sahaja yang mendapat Lailatul Qadar, terdapat seorang malaikat yang diizinkan Allah swt menjadi aulia (pelindung, penjaga dan pembimbing) kepada dirinya. Ini bermakna bermula daripada malam itu sehingga hari berikutnya, hidupnya semakin terarah.
Jika sebelum ini bisikan syaitan dan bisikan malaikat sentiasa berperang dalam dirinya, tetapi setelah mendapat Lailatul Qadar, bisikan malaikat dan fitrahlah sentiasa menang. Hidupnya akan berubah menjadi baik. Jika dahulu dia tidak merasa apa-apa jika berbuat dosa, tetapi kini menjadi sensitif dan susah hati mengenangkan dosa. Inilah tandanya orang yang mendapat Lailatul Qadar.
Orang-orang yang layak mendapat Lailatul Qadar termasuk mereka yang istiqamah berpegang teguh kepada aqidah tauhid dan tidak mencampurkannya dengan syirik walau sedikit pun sedari kecil. Mereka ini sentiasa memelihara keimanan khususnya sepanjang bulan Ramadan, bahkan semakin bersemangat terutama pada sepuluh hari terakhir Ramadan.
Mereka inilah orang-orang mendapat tetamu daripada malaikat yang turun pada malam Qadar. Malaikat akan membisikkan sesuatu kepada roh, jiwa dan fitrah mereka sebagaimana firman Allah swt dalam Surah Al- Fussilat ayat 30:
“Janganlah kamu takut, janganlah kamu bersedih.”
Bencana hidup penuh dengan ketakutan dan kesedihan merupakan dua perkara yang sering disebutkan dalam Al-Quran. Namun bagi orang mukmin, Allah swt janjikan bagi mereka tiada ketakutan dan tiada kesedihan atau dalam istilah lain mereka telah mendapat ketenangan.
Allah swt izinkan malaikat menjadi pelindung, pembimbing dan pengawal bagi mereka. Bayangkan apabila hidup sentiasa dikawal oleh malaikat. Jika hendak berbuat sesuatu yang tidak baik sentiasa ada malaikat yang mengingatkan. Oleh itu beruntunglah mereka yang mendapat Lailatul Qadar.
Nilai umur seseorang selepas mendapat Lailatul Qadar adalah lebih baik sekalipun ianya singkat. Katalah ada seorang tua berumur 70 tahun telah mendapat Lailatul Qadar pada malam ini. Bermula pada malam ini, hidupnya menjadi lebih terarah kepada kebaikan. Katakanlah di Luh Mahfuz pula telah tercatat umurnya akan berakhir pada 72 tahun. Jadi nilai umurnya yang dua tahun berbaki lagi itu (yakni setelah mendapat bimbingan malaikat dengan izin Allah) adalah jauh lebih baik daripada 70 tahun hidup sebelumnya!
Sejarah pernah memaparkan kisah Firaun yang sangat membenci Nabi Musa a.s dan ingin memalukannya. Dia pun mengatur satu majlis besar-besaran dihadiri pembesar-pembesar dan rakyat Masir. Ahli-ahli sihir diraja dikumpulkan untuk berlawan dengan Nabi Musa. Namun sihir-sihir diraja itu dapat dikalahkan oleh mukjizat Nabi yang berupa ular besar.
Ular besar itu telah menelan semua ular ahli-ahli sihir itu. Rasa takjub kepada kehebatan mukjizat Nabi menyebabkan ahli-ahli sihir ini sujud kepada Allah. Mengapa mereka terus sujud menyembah Allah? Ahli-ahli sihir ini tahu membezakan yang mana ular sihir dan ular yang betul. Mereka yakin ular besar yang muncul di hadapan mereka bukanlah ular sembarangan atau ciptaan manusia.
Melihat sahaja ahli-ahli sihir telah beriman kepada Allah swt, Firaun menjadi terlalu marah. Firaun mengugut akan menyalib dan mengerat-ngerat badan mereka jika memeluk agama Nabi Musa. Namun ahli-ahli sihir itu teguh pendirian kerana lebih sayangkan iman daripada nyawa mereka sendiri. Akhirnya Firaun menyalib dan mengerat-ngerat tangan mereka dan dibiarkan sehingga mati.
Katakanlah selepas lima hari barulah mereka mati. Jadi nilai umur ahli-ahli sihir selama lima hari dalam keadaan beriman itu adalah lebih baik daripada umur mereka yang sebelumnya penuh dengan kejahatan.
Jadi, mulai bilakah perlu mempersiapkan diri supaya menjadi orang yang layak menerima Lailatul Qadar? Jawapannya ialah sejak kecil lagi. Nabi saw mempersiapkan diri, roh dan jiwanya sebelum menerima wahyu daripada Allah swt sejak daripada kecil. Baginda tidak pernah berbuat dosa pada ketika orang lain banyak berbuat maksiat. Oleh sebab itu baginda digelar Al-Amin (yang terpercaya) sejak sebelum dilantik menjadi rasul lagi.
Enam bulan sebelum Lailatul Qadar, baginda mengasingkan dirinya secara intensif meninggalkan keluarga dan kaumnya sementara waktu untuk menumpukan hati kepada Allah di gua Hira’. Itulah persediaan jiwa nabi sebelum menghadapi Lailatul Qadar.
Bagaimanakah dengan jiwa kita? Mungkinkah ibadah yang kita usahakan selama ini daripada satu Ramadan ke satu Ramadan belum menghasilkan jiwa sempurna atau suci bagi membolehkan didatangi oleh malaikat? Jika tahun ini kita tingkatkan lagi ibadah, seterusnya ditingkatkan tahun demi tahun, tidak mustahil satu ketika nanti kita akan didatangi malaikat pada malam Al Qadar.
Rugilah bagi orang-orang yang hanya menunggu-nunggu tanda-tanda Lailatul Qadar barulah bersiap untuk beribadah sebanyak-banyaknya. Atau hanya memperbanyakkan ibadah pada sepuluh hari terakhir Ramadan dan mengabaikan serta sambil lewa pada 20 malam sebelumnya dan tidak ambil kisah langsung dengan 330 malam di luar Ramadhan. Tidak salah menambah pecutan di sepuluh malam terakhir… tetapi momentumnya perlu bermula lebih awal.
Ibnu Kathir pernah menyatakan dalam kitabnya, ada pendapat ulama yang menyatakan bahawa setiap malam dalam bulan Ramadan ini itu ialah malam Lailatul Qadar. Jadi, lebih selamat jika kita menganggap setiap malam itulah Lailatul Qadar supaya kita berterusan meningkatkan ibadah.
Sekiranya kita tidak mendapat Lailatul Qadar, ibadah yang dilakukan bersungguh-sungguh masih tidak sia-sia. Teringat kata Imam Hasan Al Basri,“jadilah kamu hamba Allah (yang beribadah sepanjang masa, tempat dan suasana), jangan menjadi hamba Ramadhan (yang hanya tekun beribadah di bulan Ramadhan sahaja).
Tegasnya, Lailatul Qadar itu dinanti dan dicari dengan momentum ibadah yang telah dimulakan sejak akil baligh lagi – hati terus terusan dibersihkan, hingga tiba saatnya layak menjadi wadah tempat bertamunya para malaikat. Hingga dengan itu bisikan baik akan sentiasa mengatasi bisikan jahat, dan perangai pun berubah menjadi baik selama-lamanya.
Jadilah hamba yang mencari malam al Qadar, bukan yang hanya menantinya!
http://genta-rasa.com/2010/09/01/mencari-bukan-menanti-lailatul-qadr/#more-1142
Transformasi Ramadhan
| Rating: | |
| Category: | Books |
| Genre: | Religion & Spirituality |
| Author: | Ust Hasrizal (saifulislam.com) |
Jom Heboh! (Edisi Special Ramadhan)
Ku mengharap kan Ramadhan kali ini penuh makna, Agar dapat ku lalui dengan sempurna...
Lirik nasyid kumpulan Raihan dan Man Bai di atas semakin hari tergiang-giang di telinga. Maklumlah hari ini (ketika artikel ditulis) pun dah 15 Sya'ban, lebih kurang 2 minggu lagi ,dah masuk bulan Ramadhan. Jadi, dalam kesempatan kali ini kita akan membincangkan bagaimana hendak meng'HEBOH'kan Pesta Beribadah ini.
Teladan Generasi Rabbani
Rasulullah SAW dan para Sahabat RA sebenarnya sangat-sangat menanti kedatangan Ramadhan. Hinggakan 2 bulan sebelum itupun yakni Rejab dan Sya'ban mereka meminta-minta kepada Allah SWT untuk menemukan mereka dengan Ramadhan. Baginda mengajarkan kepada kita supaya berdoa seperti berikut;
"Allahumma baariklanaa fii rajab wa sya'ban, wa balighna ramadhaan!"
"Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya'ban, dan temukanlah kami dengan Ramadhan."
Soalan: Mengapa Rasulullah dan para Sahabat begitu beria-ia menunggu datangnya Ramadhan, sedangkan jika ditanya, rata-rata Umat Islam hari ini mungkin tidak tahu pun bahawa mereka telahpun begitu hampir dengan Ramadhan?
Saya masih teringat sewaktu saya dan rakan-rakan membuat 'operasi' di Cameron Highland kira -kira 2 tahun lepas. Ketika itu, kami mengedarkan 'bookmark' Ramadhan kepada masyarakat di Ringlet. Sambil bertanya khabar dan beramah mesra, kami bertanyakan juga apakah persiapan mereka menyambut Ramadhan tahun tersebut.
Rata-rata yang ditemui agak 'pelik' dengan soalan kami kerana bagi mereka terlalu 'awal' untuk bercerita tentang Ramadhan ketika itu. (operasi itu diadakan di awal sya'ban, lebih kurang sebulan lagi Ramadhan). Bagi mereka, sekarang BARU awal bulan sya'ban...
Ha, saya rasa begitulah umumnya pandangan masyarakat terhadap bulan yang mulia ini. Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengHEBOHkan promosi-promosi hebat dan MEGASALES ini kepada mereka.
Persiapan-persiapan
Bagi memastikan kita semua mampu menghadapi Ramadhan yang akan datang ini dengan penuh makna, sudah sepatutnyalah kita membuat persiapan-persiapan yang sewajarnya. Secara ringkasnya terdapat 6 persiapan penting;
1. I'dad Maknawiy (Persiapan Spiritual)
Di bulan Rejab dan Sya'ban, kita telah mempersiapkan rohani supaya bersedia dan merindukan Ramadhan. Baca kembali fadhilat-fadhilat yang telah dijanjikan Allah kepada kita. Tulis dan tampalkan hadith-hadith yang memberi motivasi dan membangkitkan semangat. Dan, tidak lupa berdoa sepertimana telah diajarkan Rasulullah SAW.
2. I'dad Fikriy (Persiapan Intelektual)
Ulangkaji kembali ilmu-ilmu tentang ibadah Puasa (Fiqh Siyam). Apakah perkara-perkara yang membatalkan puasa? Makruh puasa? Sunat Puasa? dll...
3. I'dad Kitabiy (Persiapan Bertulis)
Sepertimana perayaan-perayaan lain yang disambut di negara kita, sepatutnya lebih-lebih lagilah bagi bulan Ramadhan. Bagi yang mempunyai ruang, buatlah banner-banner, kain rentang, poster-poster untuk dihebahkan kepada orang ramai akan kedatangan Ramadhan. Penuhi jalan-jalan raya, kedai-kedai, kolej, universiti dll dengan kedatangan Ramadhan.. (wow, cuba bayangkan!)
4. I'dad Maaliy (Persiapan Harta Benda)
Kita maklum bahawa di bulan Ramadhan pahala sedekah dan infaq kita berganda-ganda. Oleh itu, awal-awal lagi kita perlu berjimat-jimat sebelumnya. Dalam masa yang sama kita dapat berlatih menjauhi sikap boros dan membazir. Wang yang dijimatkan bolehlah kita belanjakan untuk tujuan dakwah, dan membantu umat Islam di Palestin, misalnya...(FAST2FUND!)
5. I'dad Jasadiy (Persiapan Fizikal)
Jom, pergi gym! Kawan-kawan, berpuasa memerlukan kekuatan fizikal dan tenaga untuk melaksanakannya. Kalau tidak 'fit', mesti ramai yang tertidur dalam kelas atau di tempat kerja. Jadi, biasakan puasa sunat Isnin dan Khamis, bersenam, dan mengamalkan hidup sihat supaya tatkala Ramadhan tiba, tiada lagi alasan UZUR...
6. I'dad Amaliy (Persiapan Amalan)
Sangat penting agar tidak berlaku 'shock' yang keterlaluan. Puasa Sunat di bulan-bulan Rejab dan Sya'ban akan membiasakan kita dengan suasana di bulan Ramadhan. Kita juga boleh mula perbanyakkan bacaan Al Quran (agar tidak tergagap-gagap di bulan Ramadhan), solat sunat (tidak terketar-ketar waktu solat Tarawikh) dan ibadah-ibadah yang lainnya...
Macamana? Boleh HEBOHkan Ramadhan tahun ini? Inyaallah, sama-samalah kita...ye!
Wallahu a'lam.
http:/ibnu-ahmadiy. blogspot. com/
"Allahumma baariklanaa fii rajab wa sya'ban, wa balighna Ramadhaan!"
"Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya'ban, dan temukanlah kami dengan Ramadhan."
ANDAI KU TAHU...
| ANDAI INI andai kau tahu ini Ramadhan terakhir tentu siangnya engkau sibuk berzikir tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu mendayu..merayu...kepada-NYA Tuhan yang satu andai kau tahu ini Ramadhan terakhir tentu solatmu kau kerjakan di awal waktu solat yang dikerjakan...sungguh khusyuk lagi tawadhu' tubuh dan qalbu...bersatu memperhamba diri menghadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji [sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku... kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam] andai kau tahu ini Ramadhan terakhir tidak akan kau sia siakan walau sesaat yang berlalu setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja di setiap kesempatan juga masa yang terluang alunan Al-Quran bakal kau dendang...bakal kau syairkan andai kau tahu ini Ramadhan terakhir tentu malammu engkau sibukkan dengan bertarawih...berqiamullail...bertahajjud... mengadu...merintih...meminta belas kasih "sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU namun...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU" andai kau tahu ini Ramadhan terakhir tentu dirimu tak akan melupakan mereka yang tersayang mari kita meriahkan Ramadhan kita buru...kita cari...suatu malam idaman yang lebih baik dari seribu bulan andai kau tahu ini Ramadhan terakhir tentu engkau bakal menyediakan batin dan zahir mempersiap diri...rohani dan jasmani menanti-nanti jemputan 'Izrail di kiri dan kanan ...lorong-lorong redho Ar-Rahman Duhai Ilahi.... andai ini Ramadhan terakhir buat kami jadikanlah ia Ramadhan paling bererti...paling berseri... menerangi kegelapan hati kami menyeru ke jalan menuju redho serta kasih sayangMu Ya Ilahi semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti Namun teman... tak akan ada manusia yang bakal mengetahui apakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah berusaha...bersedia...meminta belas-NYA andai benar ini Ramadhan terakhir buat kita MAAFKAN SEMUA KESALAHAN YANG PERNAH DILAKUKAN Sempena akan tibanya bulan Ramadhan yang tidak lama lagi saya terlebih dahulu memohon maaf jika saya ada berbuat kesalahan, baik yang tidak di sengaja mahupun yang di sengaja, semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan khusyuk , diberkati dan dirahmati Allah S.W.T, insyaallah. Saya juga memohon dihalalkan semuanya. Saya juga telah memaafkan anda dan telah menghalalkan segalanya "SALAM RAMADHAN" |
والسلام عليكم ورحمة الله
berusaha dlm m'upgrade amalan kita di madrasah tarbiyah ini...
JaDilaH GraDuaN UniVeRsiTi RaMaDhaN Yg HeBaT
Ustaz Zainudin Hashim
Mon | Oct 08, 07 | 2:54:57 pm MYT
Alangkah bahagia dan gembiranya pasangan kedua ibu bapa, apabila mendapat tahu bahawa anak mereka berjaya dalam pengajian dan pendidikan, apatah lagi cemerlang dengan keputusan yang memberangsangkan.
Maka layaklah anak mereka digelar sebagai graduan atau mahasiswa serta layak menghadiri upacara kemuncak iaitu hari konvokesyen yang penuh bersejarah.
Graduan yang hebat bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, malah cemerlang dalam segenap tindakan, tutur-kata, budi bahasa bukan hanya ketika berada di kampus universiti, malah ia menjadi darah daging sepanjang hidup.
Begitulah dengan umat Islam yang menjalani ibadat puasa selama sebulan di bulan Ramadhan, mereka sedang berada dalam sebuah universiti yang menawarkan pelbagai pengajaran yang terdiri daripada Tarbiah Ruhiyyah (kerohanian), Tarbiah Nafsiah (kejiwaan seperti mendidik mjadi orang yang bersabar), Tarbiah Imaniah (keimanan hingga meraih golongan bertakwa yang merupakan kemuncak daripada matlamat berpuasa), Tarbiah Aqliah (membentul akal agar sentiasa positif kepada Islam seperti menitik-beratkan motivasi al-Quran) di bulan Ramadhan.
Apabila kesemua bentuk tarbiyah itu diadun dalam satu diri muslim yang komited dengan Islam khususnya pada bulan Ramadhan, ditambah dengan penggarapan ilmu menerusi program tazkirah, maka akan lahirlah insan muslim yang bertakwa sungguh-sungguh kepada Allah SWT, iaitu dalam erti kata takwa yang menjadikannya takut kepada Allah, beramal dengan segala perintah-Nya di dalam al-Quran, reda terhadap qada’ dan qadar-Nya serta bersiap-siap dengan bekalan untuk menghadapi-Nya.
Insan muslim seumpama ini tidak akan keluar daripada Universiti Ramadhan menjadi orang yang menentang hukum-hakam Allah SWT, kerana maksud menentang dalam bahasa Arab ialah orang yang kafir, istilah kafir bukannya ditujukan kepada mereka yang belum Islam, kerana bukan semua yang belum Islam menentang kebenaran Islam, malah ia lebih ditujukan kepada orang yang menentang Allah, kerana yang membaca al-Quran adalah terdiri daripada yang bernama, yang bukan Islam tidak akan membacanya, justeru dia lupa untuk memperhalusi ayat 101 surah Ali ‘Imran yang bermaksud: "Bagaimana kamu boleh jadi kafir (golongan penentang), sedangkan kamu baca al-Quran dan Rasulullah bersama dengan kamu?"
Merekalah golongan yang sebenarnya layak untuk memeriahkan serta menyambut malam konvokesyen iaitu malam hari raya kerana hampir sebulan mereka melakukan amal-amal ibadat yang seolah-olah mengembalikan mereka kepada fitrah ('Idul Fitri) yang tidak berdosa bagaikan baru lahir daripada perut ibu-ibu mereka.
Seterusnya mereka tidak sekali-kali reda untuk terlibat dalam perkara yang merosakkan malam raya, kerana mereka sedar bahawa orang yang merosakkannya menerima akibat (implikasi) hati yang mati, sedangkan hati yang mati tidak akan dipandang oleh Allah SWT, firman-Nya dalam surah as-Syu'ara ayat 88-89 bermaksud: "Di hari (kiamat) harta dan anak pinak tidak berguna, melainkan orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera (hidup) dengan Islam."
Graduan-graduan Ramadhan yang cemerlang akan menghidupkan malam hari raya dengan bertakbir, berzikir, membaca al-Quran, bersolat sunat, mereka sekali-kali tidak akan reda membasahi bibir dengan perkataan yang sia-sia.
Mereka sedar bahawa lafaz-lafaz takbir mengandungi maksud tarbiah ruh dan iman yang kental yang mampu membawa mereka mencapai status insan-insan yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT.
Berusaha mencari redha-Nya...
-28 Ramadhan 1428-
