Berusaha Berjaya

Berusaha Berjaya

Artist: Hijjaz
Album: Cahya Ilahi
 
Bersama-sama kita membina
Masa depan yang lebih gemilang
Kita tanamkan tekad di hati
Berusaha menuju wawasan

Rajin bekerja terus berusaha
Bagai hidup selama-lamanya
Beramal ibadah kepada Allah
Bagai esok sudah tiada lagi

Bersama ini kita semai cita
Bersama-sama kita mengejarnya
Dan bersama-sama kitapun berdoa
Agar semua usaha kita diberkati

Hindarkan kemalasan
Jauhilah rasa rendah diri
Pohon takkan berbuah
Jika tak dibajai

Begitulah hidup kita
Perlu bekerja dan berusaha
Bulat takkan bergolek
Pipih tak datang melayang
 

Seikhlas Kelapa Tua

KELAPA TUA. Semua orang kenal kelapa tua. Tahu pula gunanya kelapa tua itu. Sangat penting dan sangat berguna kelapa tua ini dalam hidup manusia.

Namun begitu, kewujudannya tidak dipeduli dan tidak diendahkan orang. Kelapa tua ini tidak pernah menjadi topik perbincangan. Tidak pernah dikaitkan dengan apa-apa isu atau masalah. Kalaulah kelapa tua ini mempunyai emosi, tidak ramai orang yang akan dapat merasakan dan menyelami perasaannya. Itulah kelapa tua.

Kelapa tua tidak pula pernah bersusah hati kalau orang tidak mempedulikannya. Ia hanya tergantung di atas pokok dan terbuai-buai bila ditiup angin.

Tapi, lazimnya elok-elok kelapa tua itu tergantung di atas pokok sambil menikmati keindahan alam buana ini dari kedudukannya yang tinggi itu, datanglah orang menjoloknya dengan galah yang panjang. Tidak sabar menunggu kelapa tua itu jatuh sendiri. Bukannya selesa kena jolok-jolok macam tu.

Bila tangkainya sudah lemah setelah dijolok beberapa kali, maka gugurlah kelapa tua itu berpusing-pusing ke bumi. GUgur itu pula bukannya rendah. Bukan setakat lima atau sepuluh kaki tapi sampai empat puluh hingga lima puluh kaki. Bunyinya berdentum sampai ke tanah. Kalau kepala orang, boleh bersepai otak.

Masalah kelapa tua ini tidak terhenti di situ sahaja. Ini baru muqaddimahnya. Ia dikutip dan kulit sabutnya dikoyak-koyak dan dibuang sedikit demi sedikit dengan parang cangkuk. Proses ini bukan sekadar sekali tetak sahaja. Berpuluh-puluh kali parang cangkuk itu menusuk ke dalam kulit sabutnya. Seksanya tak boleh nak cerita. Mula-mula sakit tusukan. Lepas itu, sakit dikoyak dan disiat-siat. Ini berterusan sampai tempurung sahaja yang tinggal.

Bila dah sampai ke tempurung, maka tak apalah. Cantik juga rupanya. Keras dan bulat. Tetapi manusia bukan tahu hendak menilai seni yang seperti itu. Tempurung bulat yang cantik itu ditetak pula dengan parang dengan sebegitu kuat hingga terbelah dua di tengah-tengahnya. Maka tersemburlah dan mengalirlah air jernih dari dalam perutnya dan terdedahlah isinya yang putih bersih.

Bagi kebanyakan kehidupan yang lain, kalau sudah sampai ke tahap ini, maka tamatlah riwayat hidupnya. Tetapi bagi kelapa tua ini baru permulaan. Banyak lagi seksaan yang menanti.

Tak cukup dengan menyemburkan air dari dalam perutnya dan mendedahkan isinya, isinya yang putih bersih itu dipisahkan dari tempurung, diparut dan dikukur pula hingga menjadi lumat. Tempurungnya dibuang. Kadang-kadang dibakar. Bentuk asal kelapa tua sudah tidak ada lagi. Yang tinggal hanyalah isinya yang sudah lumat dikukur dan diparut.

Untuk menambah seksanya lagi, dituang pula air ke dalam isi parut itu, diramas-ramas dan diperah-perah. Alangkah seksanya. Kalau dikirakan, ini sudah terkeluar dari batas-batas perikemanusiaan. Kemudian, ia ditapis menjadi santan. Kelapa tua yang dulunya keras dan bulat kini sudah menjadi cecair yang putih.

Setelah itu, minyak dipanaskan ke dalam belanga. Bawang merah, rempah dan rencah-rencah yang lain ditumis. Bila sudah cukup kuning dituanglah santan tadi ke dalam belanga. Maka berpanasanlah santan itu hinga terkeluar baunya.

Apabila sudah masak dan baunya harum semerbak ke seluruh ceruk rumah, maka orang pun bertanya:

“Gulai apa tu? Sedap sangat baunya!”

Orang di dapur hanya menjawab, “Gulai ikan bawal.”

Gulai dapat nama. Ikan bawal dapat nama.

Orang kata, “Oh, sedap gulai ni!”

“Oh, sedap ikan bawal ni!”

Jasa kelapa tua tenggelam begitu sahaja. Perjalanan dan pengalamannya yang begitu panjang dan menyeksakan dari sebiji kelapa tua di atas pokok yang tinggi hingga ke belanga yang panas berbahang, tiada siapa yang ambil kira dan ambil peduli.

Alangkah indahnya kalau kita dapat berjasa seperti kelapa tua ini. Jasa-jasa bukan untuk dipuji dan dipuja. Bukan jua untuk dikenang atau untuk mendapat nama..tetapi untuk ta’abbud kepada Allah SWT. Biarlah jasa-jasa kita tidak nampak pada pandangan manusia..tetapi tetap wujud dalam perhatian Allah SWT.



Petikan dari Mutiara Minda

Oleh Mejar (B) Abu Dzar
 
  “Amal tanpa keikhlasan seperti musafir yang mengisi kantung dengan kerikil pasir. Memberatkannya tapi tidak bermanfaat.” -Ibnu Qayyim

OBSESI DIRI, RITUAL DAN MUJAHADAH

INSIDEN 1 :

Saya sering ditanya, “mengapa orang yang solat masih melakukan kejahatan? ” Saya jawab, “kerana solatnya tidak berkesan.”

Kemudian saya ditanya lagi, “mana lebih baik solat yang tidak berkesan atau tidak solat langsung?” Saya menjawab, “soalan itu tidak tepat.”  ”Apa yang tepat?” tanyanya semula.

“Yang tepat ialah mana yang lebih buruk, solat yang tidak berkesan atau tidak solat langsung.” Langsung tidak solat adalah lebih buruk daripada solat tidak berkesan. Sekurang-kurang dengan mula solat, kita telah menemp[uh satu jalan untuk menyempurnakannya.

INSIDEN 2:

Ada yang bertanya, “mengapa ada orang yang mudah percaya cerita-cerita yang ghaib di luar logik fikiran yang rasional.”

Jawab saya, “orang percaya kepada pembawa cerita, bukan kepada ceritanya.”

“Boleh percayakah kepada pembawa cerita?” tanyanya lagi.

“Lihat peribadinya. Jika berita yang dibertahu oleh orang yang memang terkenal kejujurannya.”

“Seperti Rasulullah saw?”

Saya  menggangguk.

“Kalau orang lain?”

“Lihat nas Quran dan hadisnya.”

“Tapi kalau kita tidak ada ilmu tentang nas dan hadis bagaimana? Nak terima atau tidak cerita ghaib itu?”

“Itu bukan soalannya.”

“Soalan apa?”

“Kita mesti dan wajib belajar tentang  Al Quran dan hadis, bukan berfikir tentang terima atau tidak cerita ghaib itu.”

“Mengapa?”

“Kenal kebenaran dulu, barulah kita boleh mengenal siapa yang cakap benar! Obsesslah pada ilmu, bukan pada obsess pada peribadi! “

INSIDEN 3:

“Bagaimana cara tercepat untuk jadi baik?”

“Tidak ada jalan pintas. Bukan senang nak senang.”

“Susah sangatkah nak jadi baik?”

“Susah nak jadi baik. Tetapi lebih senang daripada nak jadi jahat.”

“Macam mana?”

“Perlu lawan hawa nafsu!”

“Susah lawan nafsu. Kena lawan diri sendiri.”

” Ya begitulah. Membina mengambil masa, meruntuh sekelipa mata.”

“Maksudnya?”

“Jadi baik, perlu mujhadah. Mujahadah itu  pahit kerana syurga itu manis!”

Ya, begitulah saudara-saudari tiga insiden yang saya paparkan. Sebagai pencerahan mari kita lihat tiga kisah pendek sebagai percerahan kepada persoalan yang saya kemukakan itu. Semoga Allah berkati penulisan dan pembacaan kita… Amin.

1. RITUAL TANPA SPIRITUAL

Seorang ketua sami tinggal di dalam sebuah kuil besar dengan seekor kucing kesayangannya. Kedua-duanya sangat akrab. Ke mana sahaja ketua sami pergi, sikucing akan ikut bersama. Keadaan ini menimbulkan masalah pada ketua sami, terutamanya apabila dia hendak menyembah berhala besar di tengah-tengah kuil tersebut. Konsentrasi ketua sami terganggu apabila kucing kesayangannya itu mengelus-ngeluskan badan dan kepala ke badan dan tangannya. 

Setelah berfikir untuk mencari jalan penyelesaian kepada gangguan itu, akhirnya ketua sami mendapat satu ikhtiar. Setiap kali ketua sami ingin melakukan penyembahan di tengah kuil, ia terlebih dahulu mengikat sikucing di sebuah tiang di tepi kuil tersebut. Kucing itupun tidak dapat mengganggu lagi, dan ketua sami dapat menumpukan seluruh perhatiannya kepada upacara penyembahan itu.

Begitulah hari demi hari, minggu demi minggu, dan bulan demi bulan… Setiap kali hendak melakukan upacara penyembahan, ketua sami akan mengikat kucing kesayangannya di tiang yang sama. Perlakuan ketua sami itu selalu diperhatikan oleh pengikut-pengikutnya. Itu sudah menjadi rutin harian yang mereka lihat berulang-ulang kali. Setiap kali ketua mereka hendak menyembah berhala besar, kucingnya akan ditambat di tiang sebelah kuil tersebut.

Beberapa tahun pun berlalu… ketua sami tiba-tiba jatuh sakit dan tidak lama kemudian dia terus meninggal dunia. Ketua sami yang barupun dilantik untuk mengepalai upacara penyembahan berhala besar secara tradisi. Begitupun, setiap kali ketua sami yang baru hendak menyembah berhala yang besar di tengah kuil, beliau akan mengikat kucing kesayangan ketua sami yang lama pada tiang di sebelah kuil seperti kebiasaannya. Begitulah berlaku berulang kali, beberapa lama.

Tidak berapa lama, kucing kesayangan ketua sami lama itupun mati. Ironinya, ketua sami yang baru segera mencari kucing baru sebagai pengganti kucing lama untuk diikat pada tiang pada setiap kali ia hendak menyembah berhala. Begitulah rutin itu silih berganti, bertahun-tahun. Kucing baru dan ketua sami baru datang dan pergi silih berganti. Dan berpuluh-puluh tahun kemudian terciptalah satu ritual dalam agama tersebut bahawa jika ketua sami mereka hendak menyembah berhala mestilah dicari terlebih dahulu seekor kucing untuk ditambatkan pada tiang kuil di sebelah kuil tersebut!

Pengajaran:
Sering berlaku di dalam ajaran mana-mana agama (termasuk Islam), amalan-amalan ritual yang sarat dengan nilai-nilai spiritual telah terlindung oleh sikap ‘taklid’ secara membuta-tuli. Penganut agama yang di belakang hari, kerap mengikut secara Pak Turut tanpa mengerti sebab dan tujuan sesuatu amalan itu dilaksanakan. Tanpa disedari agama bertukar menjadi budaya dan syariat dianggap adat. Suatu amalan dibuat tanpa penghayatan dan pengertian lagi. Al hasil, ia tidak merubah perlakuan daripada buruk kepada baik
.

2. OBSESI DIRI

Seorang guru berkata kepada beberapa murid kanannya, “aku ingin melihat sejauhmana masyarakat percayakan aku.”
”Bagaimana caranya tuan guru?,” tanya anak-anak muridnya itu.
”Kau sebarkan berita yang aku telah berkata bahawa akan muncul seekor binatang besar di hujung kampung kita pada hujung minggu ini!”

Tanpa banyak soal, anak-anak murid tersebut pun ke luar ke seluruh pelusuk kampung menyebarkan berita yang mengatakan tok guru mereka meramalkan akan keluar binatang besar dari hujung kampung tersebut.
”Sebesar mana?” tanya orang kampung.
“10 kali ganda seekor gajah,” jawab salah seorang anak murid itu.
“Setinggi mana?”
“Setinggi bukit,” kata anak murid yang lain menambah-nambah.
“Matanya bersinar merah. Nafasnya berapi-api.”
Yang sejengkal jadi sehasta, yang sehasta menjadi sedepa. Dari mulut ke mulut berita tentang akan munculnya binatang besar itu menjadi tambah sensasi. Ada sahaja ‘edisi’ tambahan yang bukan sahaja datang daripada anak murid tok guru tetapi juga daripada orang kampung sendiri.

Hampir tiba hujung minggu yang dimaksudkan, seluruh penduduk kampung pun keluar beramai-ramai untuk menanti kemunculan binatang besar yang diramalkan. Masing-masing dengan persediaannya. Begitu meriah sekali. Mereka berarak ke hujung kampung beramai-ramai. Bersorak dan melonjak-lonjak, seakan berpesta.
“Tuan guru, mengapa tuan ikut serta dalam perarakan ini?” tanya seorang anak murid apabila melihat gurunya turut serta dalam perarakan orang kampung.
“Kenapa, tak boleh?”
“Eh, bukankkah tuan guru hanya mengada-ngadakan berita tentang kemunculan binatang besar ini?” balas anak muridnya seakan berbisik. Takut kedengaran pada orang lain.
“Ya, begitulah pada mulanya. Tetapi apabila ramai orang mula mepercayainya dan bersedia… terfikir pula olehku, manalah tahu berita ini benar-benar akan terjadi?” Murid-murid rapatnya kehairanan… Mereka benar-benar takjub, apakah berita tipu yang dicanangkan oleh tok guru itu turut menipu tok guru itu sendiri? Pelik!

Pengajaran:
Takjub pada diri sendiri menyebabkan ramai orang buta pada kebenaran. Sentiasa ada justifikasi yang datang dari dalam diri sendiri untuk mentafsirkan sesuatu mengikut apa yang diingini terjadi dengan menafikan realiti. Sudah hitam, masih dikatakan putih. Hanya kerana ego dan obsesi diri. Bukan berfikiran positif, tidak juga oleh kekuatan jiwa… cuma melampiaskan mimpi di persada ilusi.

3. MENCARI SENANG DI DALAM SENANG

Diceritakan satu malam, Ibrahim Adham, seorang raja sedang beristirehat di atas tilam empuk dalam istananya. Baginda bersenang-senang sementara menunggu melelapkan mata. Tiba-tiba terdengar seseorang sedang bergerak-gerak di atas syiling istananya. Makin lama, makin kuat kedengarannya.
”Siapa di atas tu?” bentak Ibrahim Adham.
“Saya, pengembala kambing…”
Kedengaran satu suara menjawabnya dengan jelas.
”Apa yang kau buat di atas atap istanaku?”
“Aku mencari kambingku yang hilang,” jawab suara yang tidak kelihatan itu lagi.
“Cis, pelik sungguh. Masuk akalkah kau mencari kambing yang hilnag di atas atap?”
“Begitulah wahai Ibrahim… adalah pelik kalau kau inginkan keredhaan Allah hanya dengan bersenang-senang di atas tilammu yang empuk itu. Itu samalah dengan mencari kambing yang hilang di atas atap!”

Diberitakan, selepas insiden itu Raja Ibrahim Adham tersedar daripada kelalaiannya. Suara itu menyentak kelalaiannya dalam buaian nikmat tanpa memikirkan kesusahan rakyat. Tidak lama selepas itu, baginda menyerahkan takhta kerajaannya kepada orang kepercayaannya manakala baginda sendiri mula mengembara mencari ilmu dan bermujahadah sebagai seorang sufi. Bertahun-tahun berjuang mendidik diri, derjat ketaqwaan meningkat hingga terkenallah baginda seorang seorang waliullah yang tersohor.

Pengajaran:
Tidak ada jalan mudah untuk mendapat kebahagiaan dan kejayaan abadi. Sesungguhnya, syurga sentiasa dipagari oleh kesusahan manakala neraka sentiasa dihiasi oleh kesenangan. Iman dan ujian, sentiasa lazim berlaziman. Tidak ada ganjaran tanpa ada kesusahan. Sebaiknya, hadapilah kesusahan yang sementara di dunia demi kesenangan yang abadi di syurga.

http://genta-rasa.com/2010/05/19/obsesi-diri-ritual-dan-mujahadah/#more-985

 

 Betulkan yang biasa, biasakan yang betul

Matlamat Sebuah Kehidupan

Alhamdulillah...diberi kelapangan oleh Allah utk 'update' stlh sekian lma bertindak seperti mematikan blog. hehe.. Terlampias dek kata2 bahawa sesuatu perkara yg dilakukan perlu istiqamah walaupun sedikit, membuatkanku terdorong utk meneruskannya. Semoga kta diberikan kekuatan oleh Allah utk terus berada di jalanNya.. insyaAllah..

Firman-Nya : قُلْ إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ Yang Bermaksud : “Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.” (Al-An’am : 162)

"Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadah kepada-Ku (Az Zariat : 56)

Fahamilah tujuan hidup kita...

 Bergerak menuju mampu.. Selamat beramal... ;)

Tazkirah: Akhlak, perbuatan baik 'auto-pilot'

Akhlak berasal daripada bahasa Arab `Khuluq' yang membawa kaitan dengan pekerti, tingkah laku dan perangai.

Dalam Islam, akhlak berkait rapat dengan nilai yang dihubungkan dengan ajaran Al-Quran dan sunah Nabi Muhammad S.A.W.

Selagi sesuatu perbuatan itu tidak bercanggah dengan kedua-dua sumber hukum tertinggi itu, maka ianya termasuk dalam perbincangan akhlak.

Imam Al-Ghazali mendifinisikan akhlak sebagai 'satu tindakan atau perbuatan yang terbit daripada diri secara berterusan, dan perbuatan itu lahir dengan mudah tanpa memerlukan kepada proses berfikir'.

Manakala Sheikh Dr. Fathi Yakan dalam sebuah buku karangannya bertajuk Apa Ertinya Saya Menganut Islam, meletakkan 'akhlak yang mulia itu adalah objektif paling utama Islam' sejajar dengan apa yang diungkapkan oleh baginda Rasulullah S.A.W melalui sabdanya yang bermaksud:

"Sesungguhnya aku diutuskan oleh Allah SWT untuk menyempurnakan akhlak yang mulia"

Perjalanan hidup seorang muslim belum sampai ke matlamat jika gagal menjadi seorang yang berakhlak.

Biarpun dia berakidah dengan akidah Islam, beribadah dengan Ibadah Islam namun ianya masih belum sempurna tanpa satu lagi aspek iaitu akhlak Islam itu sendiri.

Untuk memahami apa yang dimaksudkan oleh Imam Al-Ghazali dalam pendifinisian beliau tentang akhlak, mari kita melihat kepada dua situasi berikut.

Situasi pertama:

Ahmad ditakdirkan terserempak dengan seorang peminta sedekah ketika berjalan menuju ke stesen komuter lantas terdetik dihatinya untuk memberikan wang kepada peminta sedekah itu.

Dia kemudiannya menyedari yang dia hanya memiliki sekeping RM10 dan memerlukan separuh dari jumlah itu untuk tambang pulang ke rumah.

Setelah berfikir tentang jumlah yang wajar disumbangkan, akhirnya dia menghulurkan wang RM10 tersebut kepada peminta sedekah dan meminta dikembalikan semula RM5 kepadanya.


Situasi kedua:

Azman seorang pramugara kepada sebuah syarikat penerbangan.

Mengikut profesyen dan etika kerja syarikat, Azman dikehendaki mengukir senyuman kepada setiap penumpang di dalam penerbangan bersamanya.

Sikap Azman itu bagaimanapun berbeza bila pulang ke rumah.

Senyuman sama jarang-jarang diberikan kepada anak dan isterinya.



Setiap manusia mempunya banyak sebab untuk berbuat kebaikan.

Namun perlu difahami bahawa tidak semua di antara kebaikan yang dilakukan itu boleh dikategorikan sebagai akhlak, mengapa?

Mari kita fahami dari kedua-dua situasi yang dikemukakan di atas tadi.

Pada situasi pertama, secara amnya Ahmad telah melakukan kebaikan kerana memberikan sumbangan kepada seorang insan yang memerlukan bantuan iaitu peminta sedekah tersebut.

Namun jika diteliti dengan lebih cermat, perlakuan baik Ahmad itu belum dapat dikategorikan sebagai berakhlak kerana Ahmad masih menggunakan proses pemikiran untuk menentukan jumlah yang mahu diberikan kepada peminta sedekah tersebut.

Sedangkan dalam pengertian akhlak itu menyebut 'perbuatan itu lahir dengan mudah tanpa memerlukan kepada proses berfikir'.

Pada situasi kedua pula, tindakan senyum Azman sewaktu menjalankan tugas itu merupakan satu perbuatan yang baik, apatah lagi ianya sesuatu perbuatan yang dituntut oleh Islam malah dikira sebagai sedekah.

Namun melihat kepada sikap berbeza Azman di tempat kerja dan di rumah, maka senyumannya ketika melayan penumpang belum boleh dikategorikan sebagai berakhlak.

Ia kerana perbuatan senyum Azman itu dilakukan atas dasar etika kerja dan bukan terbit dari diri sendiri tanpa memerlukan proses berfikir.

Secara kesimpulannya, akhlak adalah perbuatan baik (tidak bercanggah dengan ajaran Al-Quran dan Sunah), yang dilakukan tanpa syarat.

Atau dengan kata lain, perbuatan baik yang 'auto-pilot'.

Sumber: Kuliah kitab 'Apa Ertianya Saya Menganut Islam' disampaikan oleh Ustaz Hasrizal Jamil (http://saifulislam.com)