Bulatan Gembira kami ^_^

Hari ni ber'temu' di rumah makcik Meriani.. Alhamdulillah, makanan rohani terisi.. nak point pada satu word yang kami bincangkan tadi.. salah satu nama Allah daripada  99 namaNya iaitu AS-SYAKUR (YANG MAHA MENSYUKURI).. Bila lihat semula pada nama ni, what will be in our mind is 'Allah bersyukur? macamana tu? kan Allah Maha segala-galanya, kenapa perlu bersyukur..'
 Yang dimaksudkan adalah Allah memuji sesiapa yang mentaatiNya, tanda Allah gembira bila kita hargai nikmatNya. Allahurabbi, sedangkan Allah bersyukur dengan segala sesuatu.. inikan kita yang selalu mengharap sesuatu kepada Allah tapi tak mahu bersyukur dengan nikmatNya yang tak terhitungkan.. 


Bila kaji semula satu persatu nama-nama Allah, sungguh terasa diri ni kerdil sangat.. tak punya apa-apa.. tiada satupun milik kita.. semuanya dari Allah.. sungguh Allah itu Maha Pemurah, Maha Pemberi Rezeki, Maha Pengampun..etc.. Jadi, takda alasan untuk kita sombong kat dunia ni kan.. muhasabah bersama 

 Allah, buka2 je blog, terus dapat notification dr multiply saying that, 
 From December 1st, we will unfortunately no longer be able to support Multiply in its current form.
hmm.. kena mula kerja2 pemindahan la nampaknya.. 

UJIAN ITU JALAN UNTUK MENGENAL ALLAH


Apabila berlaku sesuatu yang tidak diduga, tidak disangka, tidak dipinta… jangan kecewa, marah apalagi mencela. Tetapi tanyakanlah diri, apakah maksud baik Allah di sebalik semua itu. Allah tidak akan menzalimi kita. Ujian itu penting, teta
pi bagaimana kita menghadapinya jauh lebih penting.

Ujian itulah jalan untuk kita mengenal Allah. Allah ‘memperkenalkan’ Dirinya di sebalik semua ujianNya. Pada ujian sakit, Allah kenalkan Dirinya yang Maha Penyembuh. Pada ujian miskin, Allah perkenalkan diriNya yang Maha Kaya... bersangka baiklah kepada Allah..


 masyaAllah, sgt terkesan dengan kata2 ni.. melalui detik2 yg sukar selepas pulang dr kenduri di mata ayer. Allahurabbi, maafkanlah mereka dgn kata2 mereka. Allah lebih mengetahui.. sejuk sikit hati slps mengadu dgnNya dan baca statement di atas. Ya Allah, ikhlaskan hati kami dlm mencari redhaMu.. 

JANGAN MERAJUK WAHAI DAI'E

Hidup ini menuntut mujahadah berterusan, setiap hari pasti ada sahaja perkara yang perlu diusahakan. Seringkas bangun pagi memerlukan kekuatan menolak keseronokan tidur yang lena, sehinggalah keteguhan mendirikan Islam dalam diri setiap insan. Inilah kehidupan, tidak lari dari, suka duka, perit jerih, dan susah payah. Apatah lagi bagi tiap jiwa yang dalam sedar berikrar menyerahkan diri mereka kepada Allah, menggelar diri sebagai muharrik. Mereka yang berada di dalam kategori tersebut mesti lebih lagi menunjukkan kesungguhan dalam tiap perkara, mengelak fitnah menimpa.

Begitupun hal itu pasti tidak akan dapat dielakkan, usah kita lupa bahawa hati-hati itu ada pemegangnya, yang mengawal waktu bersungguh dan berakhir dengan waktu lelah. Jika kita terkandas memandu keghairahan semangat dan azam, kita akan kecewa apabila usaha tidak membuahkan hasil seperti yang dijangka. Tetapi ingatlah, tidak pernah susah bermakna tidak sempurna, tidak pernah merasa payah bermakna tidak normal. Allah memberikan amanah mengikut kesanggupan hambaNya, natijahnya pula di bawah takdirNya. Bak bidalan, ‘menabur benih di bumi, hasilnya dari Ilahi’.

Lalu di saat hati sedang kabur, lemah dan gelisah, carilah hikmah apapun yang ditenun di dalam lembar Al Quran. Rupa-rupanya kisah Nabi Yunus A.S yang jarang dijadikan bahan sebutan, memberi seribu pengertian dalam kehidupan seorang da’ie.

Nabi Yunus menyeru pada kaumnya
Sembahlah Allah Yang Maha Esa
Tinggallah berhala yang tidak bernyawa
Jauhi perbuatan yang sia-sia

Seruan Nabi tidak diterima
Nabi diejek dan Nabi dihina
Baginda tidak berputus asa
Walau dicaci walau dihina

Akhirnya Nabi merasa hampa
Umatnya masih menderhaka
Lalu dia pergi membawa hati
Ke tepi pantai seorang diri

Kapal pedagang Baginda menumpang
Membawa diri ke rantau orang
Malangnya laut bergelombang
Hampir karam ditengah lautan

Bila diundi Nabi merelakan
Terjun ke laut penuh bergelora
Baginda ditelan ke perut Ikan Nun
Gelap gelita tidak terkira

Sedarlah Baginda akan silapnya
Ditarbiyyah Allah sebegitu rupa
Menangislah Nabi penuh duka
Memohon Ampun dari Tuhannya

Inilah Dai’e Rabbani, tidak takut menghadapi salah, tetapi lekas kembali kepada Allah yang Maha Pemurah. Memujuk hati mencari hikmah mengakui kelemahan dirii. Berbekal ibadat di kala senang, menjadi keselamatan di waktu susah. Tabah dan sabar dalam berdakwah tanpa mengira ketidakberhasilan hidayah, kerana setiap langkah di atas jalan ini adalah kejayaan.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman” – Surah Ali ‘Imran:139, Al Quranul Karim



RAMADHAN: belajarlah berlapang dada

Ramadhan bulan barakah, bulan digandakan ganjaran setiap amalan, dibelengu segala iblis dan syaitan, bulan yang awalnya rahmah (kasih sayang), pertengahannya maghfirah (kemampunan) dan akhirnya pembebasan dari api neraka.
Ramadhan sudah beberapa hari berlalu. Barangsiapa yang sudah bersungguh-sungguh merebut tawaran ALLAH pada hari-hari yang sudah berlalu, maka beruntunglah dia. Dan barangsiapa yang lalai dan leka, sesungguhnya hari-hari yang berlalu itu sudah tidak akan kembali kepadanya. Jika saat ini tersedar kita daripada kelalaian itu, maka Ramadhan masih di fasa awalnya – rahmah. Masih kita punyai peluang untuk merebut segala tawaran-Nya. Muhasabahlah diri di awal Ramadhan sebelum terlambat, sebelum Ramadhan terus berlalu meninggalkan kita.
Dalam sibuk mengerjakan ibadah, wajar kita meletakkan sasaran yang jelas untuk diri kita. Apa sasaran ibadah kita dalam bulan Ramadhan ini? Tidak lain tidak bukan adalah untuk menggapai status hamba yang bertaqwa, selari dengan firman ALLAH;
“Hai orang-orang beriman, difardhukan ke atas kamu akan berpuasa sebagaimana telah difardhukan ke atas umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh taqwa”
[al-Baqarah:183]
Sasaran ibadah kita adalah taqwa. Baik apa jua ibadah yang kita lakukan dalam bulan Ramadhan ini, biarlah sasarannya taqwa. Solat kita, fokuskan untuk menjadi hamba yang bertaqwa. Puasa kita, biarah menepati piawaian puasa orang-orang yang bertaqwa. Sedekah kita, zakat kita, bacaan al-quran kita, dan seumpamanya, biarlah menjurus ke arah taqwa. Bukan sekadar ikut-ikut orang, bukan mahu menunjuk-nunjuk, bukan saja-saja isi masa lapang.
Aktiviti amal Islami, amal jamaei dan amal ijtimaei juga adalah ibadah. Aktiviti dakwah, tarbiyyah, pengkaderan dan sebagainya yang disusun oleh jemaah, adalah ibadah. Maka sekalian usaha menjayakannya menjadi ibadah jua. Hatta bermesyuarat, berdiskusi, menyusun atur program, merancang startegi, untuk melaksanakannya bukanlah kerja sia-sia di sisi ALLAH.
Malang sekali bagi golongan yang berfikiran sempit, khususnya dalam kalangan ahli jemaah yang menganggap bermesyuarat itu membuang masa, merancang sesuatu usaha tarbiyyah adalah sia-sia. Dalam bulan barakah inilah sepatutnya kita mohon ALLAH mudahkan usaha dakwah kita, rahmati gerakerja kita, gandai ganjaran ke atas kita, dan rahmati setiap keputusan mesyuarat kita agar tindakan perlaksanaannya dipandu cahaya-Nya.
Perjuangan menggapai status taqwa dalam bulan Ramadhan bukan sahaja ditumpukan kepada solat tarawih, tadarus al-quran, sedekah dan seumpamanya, bahkah status taqwa itu perlu meliputi juga usaha mengikis sifat mazmumah dalam diri. Tentu kita tahu sifat keji dan buruk dalam diri kita. Jika tidak nampak, jadikan sahabat karib kita sebagai cermin untuk kita menilik kekejian diri kita yang kita tidak nampak. Malang sekali jika kita menganggap kita sudah bebas dari sifat-sifat buruk, sedangkan orang lain dapat melihatnya.
Sikap berlapang dada adalah sifat terpuji yang harus kita bina terutama dalam akhlak berjamaah dan bersaudara sesama kita. Ukurlah darjah kelapangan dada kita. Jika rendah bacaan meternya, baiki lagi. Dalam berjamaah, pasti ada ketika kelakuan sahabat seperjuangan kita menyebabkan kita tidak berpuas hati atau marah kepadanya. Tegurlah dia dengan penuh hikmah dan berlapang dada. Jika hati kita terluka, jangan kita melukai saudara kita pula. Bersabarlah. Kesilapan-kesilapan kecil, maafkanlah. Usah ada sikap mudah merajuk atau memprotes tidak tentu hala. Dia tidak sempurna, kita juga tidak sempurna. Berlapang dadalah kepada kelemahan sahabat kita sebagaimana kita mahu dia juga berlapang dada dengan kelemahan kita. Jika kita merasakan hati kita sangat sensitif, mudah terluka dengan tindak tanduk manusia, maka beringatlah, kita juga memiliki lidah yang sangat tajam yang boleh melukai hati orang lain.
Begitu juga kadang-kadang keputusan mesyuarat tidak selari dengan pandangan dan kehendak kita. Berlapang dadalah dan terimalah keputusan mesyuarat itu serta laksanakan dengan penuh komitmen. Boleh jadi ada hikmah disebalik keputusan jemaah yang kita tidak nampak, atau barangkali pendangan kita masih tidak sesuai dilaksanakan pada saat ini yang kita tidak tahu. Sebaik-baiknya kita beristighfar jika cadangan kita diterima, mudah-mudahan ia terhindar daripada kemudharatan jika dilaksanakan. Bersyukur jika idea kita ditolak kerana mungkin idea yang kita anggap bagus itu tersembunyi di dalamnya mudharat yang besar.
Moga-moga Ramadhan ini dapat mempertingkatkan taqwa kita, orang-rang yang mengintima’ diri dalam perjuangan Islam. Mudah-mudahan darjat ketaqwaan kita memberi impak yang baik dalam berjamaah.
WaLLAHu a’lam…